Saturday, January 26, 2013

Asyik - Damasutra



Dengan bahasa kalimah yang sama
Puji dan memuja
Dilindung dan dibuka
Rahsiakan tetap rahsia

Indah bukan rupa
Harum bukan bunga
Manis bukan gula
Panas bukannya bara
Cintakan tetap cinta
Sejak aku kenali
CintaMu yang suci
Aku telah berjanji
Tak berpaling lagi

Akan aku genggam api
Hingga jadi besi
Dan nyata sebati

Gelap bukan malam
Terang bukan siang
Satu tak terbilang
Hanyut tak terenang
Waktu tak terasa
Rindu tak terkata
Asyiknya cinta

Dan hanya kepadaMu
Kuserah jiwa ragaku
Walau berjuta seteru
Tak kuragu

Thursday, January 24, 2013

Rasis dan Aku


Assalamualaikum

Aku begitu takut berkelakuan rasis kerana aku menentangnya. Aku lihat dunia kini banyak keterasingannya baik dalam pergaulan sosial dari tepi jalan hingga hotel 5 bintang. Dunia ilmiah juga tidak kurangnya, mereka yang berpendidikan dari benua Inggeris sering mengasingkan idea dan diri daripada  mereka yang berpendidikan dari benua Arab. 


Keterasingan ini jelas aku lihat saat aku melewati tulisan-tulisan mereka. Mungkin yang salahnya aku kerana kurang mengerti mengapa wujudnya keterasingan ini.


Manusia hidup berkelompok. Manusia hidup membanggakan kelompoknya. Manusia hidup memandang remeh kelompok lain daripadanya. Aku sedih.


Aku merasakan keterasingan ini tidak perlu. Contoh mudah, kalau pun aku berhijab, tak semestinya aku perlu memusuhi mereka yang tidak berhijab atau merasakan aku lebih baik dari mereka. Tuhan juga sayang pada mereka, masih beri rahmat dan kasih sayangNYA pada aku dan mereka kerana aku dan mereka masing-masing adalah hambaNYA  juga. Maka mana mungkin aku merasakan aku lebih baik daripada mereka sedangkan aku berkeadaan begini sekarang pun atas ketentuanNYA juga. Aku ini hambaNYA yang hina, aku sedar itu. 

Jika pun ada kelebihan yang terlihatkan oleh manusia lain, itu semua hanya pinjaman Dia. Sebetulnya, aku tak punya apa-apa, semua milik Dia.Apabila kita ingin menilai manusia lain, seharusnya kita menilai dari sudut pandangan dunianya, bukan dari sudut pandangan dunia kita, dan ini takkan mampu kita lakukan. Kedudukan hati manusia lain itu rahsia Allah, yang mana seorang manusia pun takkan mampu menilai dengan tepat apa isi manusia lain (kecuali beberapa orang yang diberikan ilham oleh Allah).

Maka sebolehnya aku cuba meluaskan pergaulan, berkawan tak mengira bertudung atau tidak, kawan sekelasku atau tidak, kawan sealiran denganku ataupun tidak,kawan sefahaman denganku atau tidak, kawan seakidah denganku atau tidak.

Adakalanya aku dikritik, dikatakan  suka bersendirian hanya kerana aku tidak melekat dengan seorang atau dua orang yang mereka gelarkan ‘geng’. Tak mengapalah, mahu belajar daripada masyarakat harus kuatkan hati.Tak mengapalah, aku juga sering mengkritik diriku sendiri.

Sebetulnya  aku cuba membuka ruang dalam akalku untuk belajar daripada manusia2 di sekelilingku. Aku cuba menghalang minda daripada dilarut kuat oleh penghujahan-penghujahan yang aku memihak padanya saat aku berpolitik dengan mereka dan juga melapangkan hati untuk menghadam perbezaan-perbezaan yang ada antara aku dan mereka.

 Dan yang peliknya, semakin lama aku makin merasakan rahmat persamaan antara mereka dan aku. Perbezaan mereka mengajarku. Persamaan mereka menyenangkan dan menenangkan. Aku mengharapkan ini juga yang berlaku dalam dunia penganalisisan dan pemikiran.

Semakin hari, semakin banyak yang aku belajar daripada manusia yang berlainan, aku senang begini kerana itu petandanya Tuhan sentiasa membimbingku.

Jika dulu aku salurkan semangat , ilmu, ketidakpuasan dan pergolakan (sama ada pergolakan pemikiran atau pergolakan peribadi) dalam setiap perdebatan yang aku sertai tapi kini memandangkan aku sudah berhenti daripada berdebat (maksud aku berdebat dalam pertandingan), maka aku salurkan semangat dan keghairahan menuntut ilmu itu dengan memerah akal sebaiknya mencari jawapan bagi setiap persoalan yang aku ada, secara total.

 Menggantikan keinginan untuk berdebat dengan mencari dan meneroka falsafah2 yang ada, aku menemui kekuatan baru apabila aku kini lebih banyak bertingkah dengan diri sendiri.

 Keputusan keluar daripada debat yang aku sertai sejak berusia 13 tahun adalah keputusan yang sangat sukar untuk dilakukan pada mulanya, tapi selepas mempertimbangkan semuanya, antaranya, kata-kata nasihat seorang manusia yang hebat  dan  pengalaman aku sendiri yang tak mampu menidakkan kebenaran kata-kata itu, maka aku ambil keputusan ini selepas beberapa kajian aku lakukan mengenai cara perdebatan ahli ulama dan ahli bijaksana pada waktu dahulu.

Aku masih teringat debat terakhir yang aku sertai, yang mana pada ketika itu aku kurang memberikan perhatian kepada hujah lawan tetapi lebih memerhatikan cara perdebatan itu sebenarnya, yang membuatkan aku sedar sesuatu yang aku tak sedar selama ni. 

Dan aku masih ingat bagaimana aku cuba untuk melawan hujah lawan waktu itu dengan cara paling lembut dan berhikmah, tapi ianya kelihatan janggal kerana itu adalah pertandingan. Lalu, aku sedar, sistem ini tak mampu aku ubah lalu aku mengambil keputusan ‘keluar gelanggang’…

InsyaAllah, lepas ni jika diberikan peluang, aku hanya akan menyertai pidato atau syarahan yang mana modus operandinya bersifat satu arah dan  tidak memerlukan aku untuk menjatuhkan orang lain untuk menang. Apa pun, aku akan terus berdebat di luar pertandingan, dengan tujuan yg berbeza iaitu untuk mematangkan fikiran dan mencari kebenaran. Saat ini, aku tidak lagi berasa sedih sebab keluar debat bahkan aku bersyukur kerana disedarkan melalui nasihat itu.

Maka, aku harapkan Tuhan beri aku lebih waktu dan kesempatan untuk belajar lagi daripada manusia di sekelilingku.

Aku juga harapkan Tuhan beri mereka lebih kesabaran untuk mengajari aku, untuk bertahan dengan semua kekuranganku sebelum aku dijemput pulang.

Aku ingin belajar banyak lagi, daripada mereka semua.

Harap kalian sudi! :)

Thursday, January 17, 2013

Kaum pekerja seluruh dunia, BERSATULAH!!!


Assalamualaikum

Alhamdulillah, aku sedang menaip sekarang, maknanya aku masih hidup. Dan Alhamdulillah jugak, hari ni dah masuk hari kelima aku bekerja sebagai tukang sapu sampah juga penjual makanan kat sebuah kantin sekolah rendah. Pengalaman 5 hari ni memang sangat menakjubkan. Pada mulanya aku memang nak give up, malam hari pertama aku menangis macam budak kecik sebab terlalu penat haha. Tapi aku teruskan jugak untuk memahami semangat perjuangan itu apa. Memandangkan aku sekarang tengah mengkaji pasal Marx dan Engel dan sumbangan mereka dalam membangunkan semangat kaum pekerja, aku ambil ni sebagai satu peluang untuk bekerja dan merasai pengalaman menjadi pekerja.

Untuk kerja ni, aku harus bangun seawal 3 pagi memandangkan pukul 4 pagi dah bertolak. Pukul 1 petang kerja habis dan akan sambung pukul 3.30 sampai pukul 5 petang untuk jualan kelas tambahan agama (KAFA) bagi murid2 tahun 2,3,4 dan 5, tapi ini untuk hari Ahad, Isnin dan Selasa sahaja. Hari Rabu dan Khamis kerja habis pukul 1. Malam pula aku akan pergi kantin sekali lagi untuk teman bos beli barang dan simpan barang2 tersebut dalam peti ais untuk digunakan esoknya. Memang penat, tapi semakin lama aku dah tak rasa penat tu kerana pekerjaan ini memang benar2 menyedarkan aku betapa bertuahnya aku selama aku hidup 21 tahun di bumi Allah ini. Tapi alhamdulillah, aku masih punya masa untuk habiskan buku2 yang aku baru beli dan dah lama beli tapi tak habis baca hehe. Selalunya lepas Zohor adalah waktu aku mengkaji buku sebelum siap sedia untuk bertugas kembali petangnya.

Sekolah yang aku kerja sekarang ni adalah sebuah sekolah luar bandar yang mana kebanyakan pelajarnya daripada golongan yang berpendapatan rendah sebab tu sekolah ni disediakan dengan bantuan RMT, yang mana setiap pagi aku antara pekerja yang ditugaskan untuk menguruskan pembahagian makanan kepada budak2.

Bayangkan pagi2, dan aku harus berhadapan dengan budak2 yang berusia 7 hingga 10 tahun macam tu, ya Allah diorang ni sangatlah  comel. Maklumlah, awal pagi. Semuanya kemas, rambut sikat tepi, baju masuk dalam, bedak sapu kat pipi, muka semua mengantuk dan kalau aku tanya “abang, nak kuah lebih tak?”, diorang akan senyum dan mengangguk je. Yang kelakar, ada yang masih menangis (ni Tahun 1 lah) sebab kena datang sekolah haha. Untuk mengatasi situasi ni, aku akan cuba berbual2 dengan adik2 ni (atau patut aku gelarkan anak-anak? hehe) memang best dapat melihat muka budak2 yang comel pagi2. Semua kecik2 je, kalau berdiri ada yang hanya paras pinggang aku. So can you imagine how cute they are in the white school uniform?

Lepas RMT, waktu ni lah proses menyapu akan bermula. Lepas tu dalam pukul 9, persiapan akan dilakukan untuk waktu rehat pukul 10 nanti. Aku handle part nak buat nasik lemak dan petang aku handle part jual minuman. Waktu menjual adalah part yang paling mencabar dan paling menarik dalam kerja ni. Kalau murid2 Tahun 1,2,dan 3, diorang ni memang kelakar, setiap hari dialog diorang bila datang ke kaunter, “Kak, ni berapa?” “Kak, ni satu berapa?” walaupun setiap hari diorang beli makanan yang sama. Tapi aku tak kesah, jawab jelah, kecik2 pun, diorang ni pelanggan aku. Aku selalu akan panggil diorang dengan gelaran “abang” atau “kakak”, so diorang akan rasa diorang dah besar dan boleh berdikari (kena main psikologi sikit haha). Lepas tahap 1 keluar, tahap 2 pulak akan keluar rehat. Tahap 2 ni lebih agresif sikit, kebanyakkannya dah pandai demand, “kak, nak kuah lebih”, “kak, letak lah banyak sikit ikan bilis tu”. 

Yang paling aku tak boleh lupa, ada seorang adik lelaki ni, setiap kali datang dialog dia “kak, saya macam biasa lah” sambil tersengih lebar. Setiap hari! Haha, yang lucunya aku tak ingat pun dia makan apa, bayangkan ada lebih seribu pelajar, tapi memandangkan tu dialog dia setiap hari sampai aku kenal dah dia, aku hafal apa yang dia akan makan. Kalau aku bagi ikan bilis lebih sikit, dia akan jawab dengan kuat “ Ya Allah terima kasih kak, semoga murah rezeki” sambil sekali lagi tersengihhh lebar. HAHA, penat aku gelak dengan gelagat diorang nih.

Adapun, budak2 bila dah lapar, ada yang akan jerit sekuat hati “KAK, NAKK BAYAR!!!” padahal aku cuma depan dia je kot. Tapi, aku tak salahkan dia, aku salahkan diri aku sendiri sebab mungkin lambat bertindak. Jadi aku  cuba tingkatkan kelajuan menyediakan makanan dan kelajuan memulangkan duit baki. Skil matematik aku memang diperah habis-habisan waktu tu. Bimbang kalau terkurang pulangkan duit baki, kesian budak2 nak beli makanan lain tak cukup nanti. Maka aku benar2 berterima kasih pada budak2 yang menjerit dan memberikan tekanan kepada aku, sebab disebabkan diorang lah, aku berusaha untuk bekerja dengan lebih baik. Pressure is not always bad, isn’t it?

Ada part yang mengharukan jugak, bila mana ada murid2 yang tak cukup wang untuk beli makanan. Selalunya bos cakap ambil je berapa yang dia bagi walaupun tak cukup. Murid Tahun 1 dan 2, ada yang tak tahu nak beli, terus bagi seringgit pada aku, “ Adik nak beli apa ni?”, dia jawab tak tahu. Ada yang datang ke kauter jualan, pusing sana, pusing sini, bila aku tanya nak beli apa dik, dia jawab, akak saya ada 2 kupang ja (20 sen). Ada pulak 3 sekawan ni, dua orang nama Aiman, seorang lagi aku tak sempat tanya. Aiman yang pertama datang dan beli sosej 50 sen, pastu sosej tu diorang nak patahkan 3 sebab nak kongsi. Ada jugak yang berkongsi nak beli kuih sama2. Waktu petang, seorang beli air dan kongsi ramai2. Sedihnya aku waktu tu Tuhan je yang tahu. Perasaan simpati membuak-buak dan aku rasa sangat bersyukur sebab aku bukanlah daripada keluarga yang senang sangat, tapi taklah susah sangat. Keadaan macam ni lah yang buat aku semakin bersemangat nak datang kerja tiap2 hari. Even dulu nak study pun aku taklah bersemangat sangat haha. Sebenarnya, aku nak belajar lebih lagi daripada mereka di sekeliling aku, dan menyedari, betapa bertuahnya aku selama ni… ;(


Rakan sekerja aku ada 5 orang. Semuanya ada background yang buat aku sangat kagum dengan diorang. DIorang sangat baik dan selalu lepas kerja habis, kami akan makan sama2. Ada 3 orang yang dah berusia dan selalu ajarkan aku benda2 yang patut dibuat. Ada seorang lepasan spm, ayah dia sakit, jadi dia datang kerja untuk tolong mak dia. Namanya Kila, dia selalu tanyakan aku pasal engineering sebab dia cakap lepas ni dia nak sambung diploma kat poli. Sempat jugaklah aku promote sikit2 pasal tempat belajar aku sekarang ni. Seorang lagi lelaki, kami panggil Angah, ayahnya dah meninggal dunia dan dia dah berhenti belajar sebab nak bantu keluarga. Dia baru berusia 17 tahun. Jujur aku kesiankan dia dalam masa yang sama aku kagum dengan semangat yang dia ada. Angah ni kelakar tahap mega! Selalu buat kitorang gelak, dia selalu usik seorang makcik ni, juga salah seorang pekerja. Bila dah basuh pinggan sama2, sediakan makanan sama2, makan bersama, aku rasakan mereka seperti keluarga.

Ini lah serba sedikit pasal kerja aku sekarang ni. Memanglah penat, tapi berbaloi, satu pengalaman yang tak akan aku lupakan sampai bila2. Doakan aku dapat terus kerja dengan baik ya! Kaum pekerja seluruh dunia, BERSATULAH!!!



p/s: esok dah Jumaat, YEAY, aku cuti!!! :)



“Oleh itu, apa jua yang diberikan kepada kamu, maka ia hanyalah nikmat kesenangan hidup di dunia ini sahaja dan (sebaliknya) apa yang ada di sisi Allah (dari pahala hari akhirat) adalah lebih baik dan lebih kekal bagi orang-orang yang beriman dan yang berserah bulat-bulat kepada Tuhannya;” Asy Syura ayat 36