Wednesday, August 28, 2013

Berlari Semula Ke Belakang


Petang tadi hujan baru reda tapi masih rintik-rintik. Aku keluar menunggang motosikal adikku untuk ke suatu destinasi. Mungkin kerana mengejar masa, entah bagaimana aku terlupa untuk ikat tali topi keledar. Selepas 20 minit perjalanan, dengan kelajuan 100 km/j, tiba-tiba, topi keledar terkeluar dan terpelanting ke jalan. Hujan pula semakin lebat dan angin kuat. Dengan kelajuan begitu aku tidak sempat untuk brek mengejut, maka aku terpaksa biarkan topi itu terjatuh, terhempas dengan kuat dan terus tergolek ke tengah jalan. Dan seterusnya aku segera memberhentikan motosikal di bahu jalan dan berlari semula ke belakang mencari topi tersebut. Di tengah hujan, di tengah-tengah jalanraya aku berlari mengejar topi keledar milik adikku. Fuhh, mujurlah tidak ada kenderaan pada waktu itu kerana jika ada, besar kemungkinan arwahlah aku sekarang. Akhirnya aku dapat kembali topi keledar itu, sudah calar-balar dengan teruk dan cermin di hadapannya sedikit retak. Aku beritahu adik keadaan topi keledarnya, meminta maaf atas kecuaian aku dan sambil tersenyum dia memaafkan aku.

Maka ceritanya hari ini, atas kesilapan yang aku lakukan pada awalnya, Tuhan beri aku kesempatan untuk membetulkan keadaan walaupun keadaan sudah tidak sama seperti awalnya.

Lalu aku terfikir, entah bagaimana dengan kesalahan-kesalahan aku yang lain ? 
Hati-hati yang aku sakitkan ?
 Insan-insan yang aku susahkan ? 
Amanah-amanah yang belum sempurna aku lunaskan ?


Sedangkan masa semakin kurang untuk aku berlari semula ke belakang……….

Sunday, August 11, 2013

Kassim Ahmad dan Dik Syah

Aku mulakan tulisan kali ini dengan setitis rasa keinsafan yang Tuhan telah campakkan ke dalam hatiku dalam memahami pelbagai sikap dan sifat manusia di sekelilingku, tidak kiralah yang pernah aku jumpa atau pun hanya aku baca tulisan dan pemikirannya. Setitis rasa itu meresap ke dalam hati lalu merebak ke seluruh anggota, jasad dan rohani lalu membisikkan kepadaku tentang betapa kerdil dan hinanya diri ini.


Seperti biasa, sewaktu suasana sunyi apabila malam menjelma, aku hadapkan akalku kepada persoalan-persoalan yang semakin bertambah. Setiap persoalan adalah hadiah daripada Tuhan, sebagaimana Dia menghadiahkan akal kepada ciptaan bernama manusia.


Buku Universiti Kedua tulisan Kassim Ahmad telah mengajarkan aku beberapa perkara, yang aku masih dalam proses memahami dan berfikir aktif tentangnya.Sosok yang bernama Kassim Ahmad ini bagi aku hebat pemikirannya dan memiliki keperibadian yang sangat baik dan mulia. Wanginya bunga akhlak beliau aku hidu kuat lewat ku baca tulisannya. Sabar. Tenang. Optimis.


Tulisan yang menggambarkan pengalamannya sewaktu ditahan ISA, juga pandangannya terhadap beberapa sisi Islam. Islam yang aku sanjung, walaupun masih ada beberapa sudut yang masih belum aku fahami sepenuhnya kerana kelemahan-kelemahanku dalam memahami ilmuNya.


Dan bukunya ini membuatkan aku tergerak untuk mencari lagi karyanya, alhamdulillah setelah ku cari dalam ribuan file yang diberikan oleh seorang sosok yang juga aku hormat keperibadiannya, aku jumpa satu karya Kassim Ahmad yang sudah diterjemah ke Bahasa Inggeris. Syukur. Moga Tuhan Yang Maha Pemurah menemukan lagi aku dengan karya-karya Kassim Ahmad yang lain.



Dan Dik Syah merupakan sosok yang membuatkan hatiku tersenyum sampailah saat ini. Comel. Bijak. Manis. Itulah dia, sepupuku yang berusia 8 tahun, sangat suka tersenyum. Nama penuhnya Aisyah, tapi aku panggil Dik Syah sahaja. Setiap kali aku tanyakan soalan padanya, dia akan menjawab sambil tersenyum. Aku tanyakan pada dia adakah dia suka membaca buku dan jawabnya cukup menyenangkanku. "Ya, suka kak" Lalu aku bawa dia ke almari buku dan dia nampak sangat gembira. Aku tunjukkan dua buku, komik sebenarnya tapi komik tentang hadis Rasulullah dan satu lagi komik kompilasi ceramah Ustaz Azhar Idrus. Dan aku juga tunjukkan beberapa buah buku yang lain, kerana aku ingin memberikan dia kebebasan membuat pilihan walaupun dalam perkiraanku dia pasti akan memilih komik hadis. Dalam fikiranku, kanak-kanak seusia Dik Syah pasti lebih tertarik dengan komik yang mempunyai illustrasi yang menarik. Dan syukur tepat tekaanku. Setelah melihat beberapa buah buku, Dik Syah katakan dia ingin membaca buku komik hadis itu.


Dik Syah begitu teruja dan membacakan cerita-cerita dalam komik itu kepadaku. Perasaannya sangat menggembirakan apabila melihat dan mendengar dia bercerita kepadaku. Dik Syah memang seorang kanak-kanak yang pintar dan petah berkata-kata. Aku banyak bertanya kepada Dik Syah tentang persekolahannya, tentang kawan-kawannya dan semuanya dia jawab dengan tenang dan dengan senyuman. Moga Tuhan terus memilih dia menjadi seorang muslimah yang baik dan menetapkannya di jalanNya yang lurus dan suci.


Dalam hari-hari yang berlalu ini, moga Tuhan sentiasa bersamaku dan terus menunjukkan aku kebenaran dalam pelbagai cara yang tak pernah aku duga. Moga-moga, insyaAllah.