assalamualaikum
normal lah kan, setiap kali balik dari kampung ke kolej semula, memang penyakit takboleh tidur sampai. Walau di bawah pengaruh ubat-ubatan sekali pun, ia tetap datang. Tapi tak apa, sekurang-kurangnya sempat lah aku update blog usang ni. haha
fuhh..memang beberapa hari ini betul-betul mencabar bagi aku.
Kemalangan. Satu perkataan yang banyak mengajar aku. Pagi tu memang aku sangat sakit kepala. Pening. Dan sebelum kemalangan tu berlaku, aku hampir-hampir dilanggar kereta dari arah belakang. Berhenti, istighfar, jalan.
Tapi kali kedua ini, memang di luar jangkaan. Entah bagaimana aku boleh terlupa yang di situ ada traffic light. Aku takberhenti dan terus jalan, dan kesannya aku bertembung dengan sebuah kereta. Allahuakbar, sakitnya Tuhan saja yang tahu.
Dengan tangan terketar-ketar menahan darah yang mengalir, aku memohon pada sekumpulan orang asing yang mengelilingi aku waktu tu, "to...long..ba..wa.." Arghh sudah, suara tersekat-sekat dan aku harus kuatkan suara kerana mereka takfaham apa yang aku cuba katakan.
"to..long..ba..wa..sa..sa..ya..pe..gi..hos..hospital" Nak habiskan ayat ni pun cukup seksa. Lalu ada lah seorang insan mulia, menawarkan diri untuk bawakan aku ke hospital. Mungkin kerana penampilan aku, dia teragak-agak untuk memimpin aku ke kereta. Waktu itu, aku bertekad, tak kesahlah, kaki ni patah ke apa, aku harus jalan sendiri, tak boleh dipimpin sebab semua yang ada di situ adalah lelaki. Mulanya mereka melarang aku berjalan, sebab takut kaki aku patah, tapi aku bertegas dan katakan, "tak apa.. kaki...tak...patah..bo..leh...ja..lan.." (sakit2 pun degil, nak buat macam mana huhu).
Maka, dengan kekuatan yang Allah swt masih pinjamkan, aku jalan juga hingga ke pintu kereta. 3 meter terasa seperti 3km. Dalam hati aku sangat bersyukur kerana Allah swt masih jagakan aurat aku di hadapan mereka.
Demi Allah swt, insan mulia ini amat menjaga. Dia lah yang tolong ambilkan barang-barang aku, buka kan pintu, ambilkan kerusi roda ketika di wad kecemasan, jagakan barang-barang aku, tenangkan aku dengan menyuruh aku bersabar dan meminta aku telefon kawan atau ahli keluarga. Setiap setengah jam aku perhatikan dia begitu bimbang dan tanyakan pada dokter tentang keadaan aku. Dan dia di sini ialah orang asing, seorang lelaki yang berusia mungkin lewat 60-an dan aku tak mengenali dia dan dia juga tak mengenali aku.
Orang asing yang dipinjamkan Tuhan seketika untuk membantu aku meredah ujian ini. Allahuakbar, Alhamdulillah.
Pengalaman dalam wad kecemasan agak menakutkan. Di sekeliling aku ramai yang sedang bertarung nyawa. Dan part yang paling aku takut adalah dikenakan suntikan. Itu antara kelemahan aku sebab aku takut jarum. Tapi, tahan kan saja lah.
dan hari ini, 5 hari selepas kejadian itu, alhamdulillah aku sudah makin pulih. Cuma kesannya masih ada, mudah penat dan sesak nafas bila lakukan sesuatu, aku harus segera baring dan berehat. Hatta duduk sahaja menghadap laptop pun boleh membuatkan aku penat. Maka bila terjadi begini, baru lah kita akan menghargai nikmat sihat itu sebenarnya. Alhamdulillah.Alhamdulilah. Alhamdulillah. Banyak yang aku belajar dari kejadian ini.
untuk mak abah, adik, kakak, kawan-kawan dan semua yang mendoakan, aku ucapkan jutaan terima kasih. Allah swt sahaja yang dapat membalas kebaikan kalian.
"kalau tengok moto dan kereta ni, memang remuk teruk, mujur awak selamat, dik. Satu keajaiban ni" ayat seorang pakcik yang buat aku termenung panjang hingga sekarang.