Wednesday, November 27, 2013

Artikel Yang Dipendam

Assalamualaikum, tadi aku belek2 semula folder lama untuk buang mana2 dokumen yang tidak diperlukan, aku terjumpa artikel ni. Lama dah aku tulis ni, untuk satu pertandingan tapi pertandingan itu dibatalkan di saat-saat akhir, maka artikel ini aku simpan saja dan  tak pernah kongsikan pada sesiapa pun. Oh ya, artikel ini dalam format kertas kerja.


NAMA: WAN ANIS YASMIN BT WAN YUSOFF

PELAJAR IJAZAH SARJANA MUDA KEJURUTERAAN RANGKAIAN KOMPUTER, TAHUN 1, UNIVERSITI MALAYSIA PERLIS

TAJUK  KERTAS KERJA: REKONSTRUKSI  PENILAIAN  SENI  DALAM  KALANGAN BELIA



Golongan belia boleh dikatakan sebagai golongan yang paling terpengaruh dengan perkataan seni. Sudah menjadi satu kemestian untuk golongan ini menikmati seni menurut takrifan mereka tersendiri.  Sering terjadi golongan ini menyamakan seni dengan hiburan semata-mata yang mudah diperoleh di media massa seperti lagu-lagu, drama –drama terutamanya drama yang menjulang tema cinta dalam penceritaannya juga melalui trend yang dibawa oleh artis luar negara. Hal ini seterusnya memiskinkan nilai seni itu sendiri sedangkan pada zaman dahulu para ilmuwan juga menggunakan seni dalam menyebarkan ilmu mereka contohnya seperti tokoh pemikir dan penyair Muhammad Iqbal, juga Sheikh Ahmad al-Fathani dan Sheikh Muhammad Tahir Jalaluddin yang turut berjuang dengan mata pena dan bait-bait puisi indah tetapi menusuk jiwa pembacanya. Tidak dilupakan para ilmuwan Barat yang turut menggunakan seni dalam menggambarkan kehebatan ketamadunan mereka. Maka, objektif kertas kerja ini ialah ingin membawa masyarakat kembali menilai definisi dan konsep seni yang sebenarnya dan kaitan serta peranan seni dalam melahirkan generasi pemikir yang matang dan berwibawa dalam menjayakan agenda memajukan bangsa manusia. Bagi mencapai matlamat rekonstruksi penilaian seni ini, beberapa penelitian terhadap pandangan tokoh-tokoh ilmuan dan juga pengupasan kritikal telah cuba digarapkan dalam proses penelitian semula kasus nilai seni yang sebenarnya. Memandangkan seni merupakan satu alat dan senjata penting dalam memanusiakan kembali manusia agar fungsi dan peranan manusia itu dalam memakmurkan alam dapat dicapai dengan holistik dan penuh jaya, maka penilaian semula terhadap penakrifan seni dalam kalangan belia yang merupakan bakal pemimpin dunia harus dilakukan agar pemahaman yang jelas dapat dizahirkan pula melalui tindakan dan keperibadian. 

Dalam kita memahami apakah keperluan bagi melakukan satu rekonstruksi minda terhadap seni yang mana subjek yang difokuskan dalam kasus ini ialah golongan remaja, adalah lebih utama untuk kita memahami maksud rekonstruksi itu dalam konteks perbincangan ilmiah yang diutarakan. Rekonstruksi dapatlah difahami sebagai pembinaan semula yakni dalam skop ini, pencerahan semula tentang apakah nilai seni yang sebenarnya. Pencerahan yang dimaksudkan ialah pemantapan semula doktrin para belia tentang takrifan seni yang sebenar agar mereka kelak mampu menjadikan seni sebagai satu wadah pencerapan ilmu dengan adil dan berwibawa. Dalam hal ini, doktrin atau fahaman asas yang merujuk tepat kepada cara pemikiran dijadikan langkah pertama kerana seperti difahami, melalui pemikiran tunjang segala tindakan. Terdapat tiga persoalan utama yang akan dijawab dalam kertas kerja ini. Pertama, apakah sebenarnya itu seni dan bagaimanakah seni harus difahami? Kedua, apakah kepentingannya kepada para belia untuk membetulkan pandangan mereka terhadap seni? Ketiga, seperti yang seharusnya ditekankan dalam setiap kajian ilmiah secara kritikal, bagaimana untuk membudayakan penilaian seni yang benar dalam kalangan masyarakat, tanpa segregasi golongan elit dan golongan marhaen? 

Persoalan pertama yang perlu dikaji, apakah itu seni dan bagaimanakah takrifan terhadapnya harus dilakukan? Pertamanya, seni itu adalah ilmu. Namun hakikatnya, apabila kita berbicara mengenai pendefinisian seni, kebanyakan orang sering merujuk kepada pendapat tokoh-tokoh seni terkemuka tentang tafsiran seni itu sendiri. Tetapi pada pandangan penulis, setiap insan seharusnya berani mengemukakan pendefinisian seni yang tersendiri dan tidak terikat kepada satu pendefinisian semata-mata memandangkan seni merupakan ssesuatu yang bersifat abstrak dan pengakhiran penilaiannya berada di ufuk infiniti dalam cakerawala keilmuan. Mengikut Kamus Dewan Edisi keempat, seni didefinisikan sebagai karya contohnya sajak, lukisan, muzik dan lain-lain yang diciptakan dengan bakat, kebolehan mencipta sesuatu yang indah. Imam Muslim dalam kitabnya, Kitab Al- Iman, menjelaskan tentang kesenangan estetik dan konsep keindahan sebagai pertemuan antara seseorang yang mempunyai pengetahuan terhadap mesej atau objek yang ditemui. Daripada dua definisi ini, dapatlah disimpulkan seni itu haruslah didasari dengan ilmu dan diluahkan pula menggunakan tahap kreativiti dan daya cipta manusia yang berbeza-beza merangkumi bidang keagamaan, falsafah, politik, sehinggalah kepada pembinaan satu bangsa manusia secara keseluruhannya memandangkan seni juga satu alat penyatuan selain berfungsi sebagai alat menyampaikan ilmu. 

Sheikh Muhammad al Ghazali dalam bukunya Warisan Pemikiran Islam telah menegaskan bahawa seseorang itu tidak dapat digelar seorang manusia jika akalnya tidak mahu lagi berfikir. Kata-kata ini harus kita fahami dalam konteks pencerapan seni dalam membina ketamadunan manusia. Ironinya hari ini, apabila kita berbicara mengenai seni, sering kita tempelkan pada muzik yang melalaikan, muzik yang membawa mesej cinta sesama manusia yang sering telah pun dimurahkan dengan kata-kata rayuan yang tidak melambangkan kemahalan cinta itu sendiri dan ini seterusnya melemahkan para belia yang sememangnya berada dalam satu fasa pergolakan jiwa remaja.  Secara tidak langsung, keadaan ini menjurus kepada barah hedonisme yang membawa para remaja kepada lembah kehancuran apabila keseronokan dijadikan matlamat utama kehidupan mereka. Keadaan ini merupakan satu ancaman besar kepada pembangunan negara kerana golongan belia merupakan cerminan keunggulan sesebuah negara. Apakah yang boleh kita harapkan apabila remaja pada usia muda yang seharusnya dimanfaatkan dengan latihan pemantapan jati diri dan intelektual, sebaliknya terkulai layu mendokong mazhab hiburan yang melampau?

Menjawab persoalan seterusnya, apakah yang harus dibudayakan dalam usaha kita merekonstruksi takrifan seni, yang pertamanya, perlunya penghapusan sikap prejudis dalam kita menilai seni. Maknanya, seni itu haruslah ditafsirkan berdasarkan kualiti dan juga kesannya kepada masyarakat dan kemanusiaan, bukan sekadar daripada indikator publisiti atau populariti semata-mata. Selain itu, budaya memberi darjat tertentu kepada seni juga haruslah dibuang hingga ke dasarnya. Mengambil contoh, situasinya hari ini seni orkestra sering dikaitkan dengan golongan berada dan muzik yang dimainkan di tepi-tepi jalan sering dianggap tidak mempunyai sebarang nilai atau dalam bahasa mudahnya, sering sahaja disampahkan pihak tertentu tanpa terlebih dahulu menghayati atau cuba memahami isi serta nilai yang cuba disampaikan oleh pengkarya tersebut. Ini adalah satu falasi pemikiran yang sememangnya harus kita banteras. Jika seni diberikan penarafan, contohnya seni orang kaya dan seni orang miskin, maka hal ini akan menyebabkan perpecahan dalam kalangan manusia itu sendiri sedangkan yang mengangkat darjat seseorang bukanlah harta tetapi ilmu di dada. Dua jurang yang selari ini harus kita rapatkan dan ini hanya dapat dicapai apabila masing-masing membuka minda dan berusaha mempelajari nilai dan pengajaran yang terkandung dalam sesebuah karya seni, tidak kiralah daripada siapa pun, hatta daripada lagu-lagu ciptaan pemuzik jalanan sekalipun kerana matlamat seni itu adalah untuk memberi pencerahan ilmu, bukan sekadar satu pakaian yang akan mengangkat darjat manusia di mata manusia yang lain. 

Sementara itu, ketika zaman revolusi di Eropah, muzik sering digunakan untuk menaikkan semangat para kaum yang tertindas, maka cadangannya, pada hari ini pembelajaran sejarah juga harus diselit penggunaan muzik  yang dapat membantu para pelajar memahami erti perjuangan agar mereka tidak lagi menjadi robot yang disumbatkan pelbagai fakta sejarah untuk dimuntahkan sewaktu peperiksaan dijalankan. Seterusnya,  tanpa penghayatan yang kukuh terhadap sejarah,  kebanyakan mereka akan menjadi bandwagon patriotik sewaktu 31 Ogos menjelma setiap tahun. Seni yang bernilai  kenegaraan hanya dicintai ketika musim menyambut ulangtahun kemerdekaan,dan apabila sudah berlalu, muzik-muzik yang melalaikan terus mengambil tempat.  Bagi merealisasikan ini, pandangan terhadap muzik punk dan rock haruslah dineutralkan dan tidak lagi dianggap sesat tanpa berusaha memahami mesej yang dibawa terlebih dahulu dan bagi mencapai tujuan ini, sikap ‘houlier than thou’ sememangnya harus dimatikan. Hal ini demikian kerana, pembudayaan ilmu itu tidak akan subur selagi mana para intelektual bersikap sombong untuk cuba memahami dan membuka ruang dalam minda untuk mengkaji keberkesanan metode kasus yang berbeza alirannya. 

Akhirnya, marilah kita menghayati kata-kata ini dan carilah perkaitan ilmu dan seni yang terikat teguh sebagai entiti yang saling berkaitan dan amat penting untuk dinilai dengan tepat dan berkesan:
 "Penekanan kepada ilmu sebagai satu kuasa (knowledge is power) membuat pemimpin dan pentadbir merancang dan melaksanakan dasar yang boleh mengembangkan ilmu, dan sekali gus mendapat kekuatan baru dalam hal tersebut. Kuasa Barat yang menjajah negara lain semuanya meletakkan peranan besar ilmu terutama dari segi memahami bahasa, pemikiran, budaya dan tradisi jajahan takluknya." 
 Wan Mohd Nor Wan Daud, Budaya Ilmu: Satu Penjelasan.



Tuesday, November 26, 2013

Jauh Dari Itu


gambar sebahagian pelajar  di bawah gerakan Students for a Democratic Society and the Southern Student Organizing Committee (SSOC), gerakan aktivis pelajar pada tahun 1960 di Georgia, sewaktu mereka protes menentang perang Vietnam


Assalamualaikum.
Dimulakan dengan nama Allah Maha Bijaksana.

Malam semakin larut. Bintang-bintang menyembunyikan diri, sudah tiga malam begitu, aku pun tak tahu mengapa. Aku baru berkira-kira mahu menulis puisi malam ini, tapi tiada pula ilham yang datang. Orang yang tak ada jiwa sastera, beginilah. Aku fikir sasterawan itu adalah orang yang bisa menjangkaui tahap normal pemikiran manusia. Sajak-sajak yang hebat bagi aku adalah sajak yang bisa membuatkan hati aku bergetar dan berkata, “aku terkesan dengan tulisan ini”. Selalunya sajak Wiji Thukul tidak pernah gagal buat aku ke awangan dalam memahami erti kesusahan. Aku kongsikan salah satu puisinya di akhir tulisan ini.

Aku campakkan pen ke atas meja studi yang berselerak dengan nota dan alat tulis. Setelah mengambil wudhuk, solat sunat taubat 2 rakaat lalu aku bergerak menuju ke kamar peraduan. Jam sudah menunjukkan 2 pagi, aku benar-benar ketagihan tidur. Demam yang masih setia mendampingi aku membuatkan mata tidak lagi mahu berkompromi. Tiba-tiba aku teringat janjiku untuk menyiapkan tugasan yakni menyiapkan satu tulisan berkenaan prk. Lalu akal berputar ligat mencari idea untuk diluahkan.

“Faith moves mountains, but only knowledge moves them to the right place”
Joseph Goebbles

Pandangan aku pasal prk, entah lah, apa yang harus aku katakan ? Aku lihat semuanya hampir sama. Masuk bertanding, berkempen, mengundi dan ditentukan pemenangnya. Lalu ditubuhkan jawatankuasa dan mereka ini akan bergerak sebagai satu tim dan memakai gelaran MPP untuk sesi tersebut. Aku takmampu hurai lebih tentang cabaran seorang MPP itu bagaimana, pengalamannya apa dan ceritanya seperti apa kerana aku, seperti aku katakan adalah orang yang tidak layak untuk berbicara mengenai itu kerana aku bukan MPP.

Maka aku akan menjawab sebagai seorang bukan MPP, menggunakan dua kunci kata; pendidikan politik dan sistem demokrasi.

Tadi aku katakan semuanya hampir sama, bukan semuanya sama bukan? Ya, bezanya kali ini kecoh tentang isu percaturan. Bila kawan kuliahku tanyakan pada aku, apa pandangan aku tentang percaturan itu, benarkah ada percaturan, aku lihat kawan-kawanku juga bercapah pandangan dalam menafsirkan perkara ini. Aku diam dan perhati. Dalam hati terdetik juga, “hebat juga kawan aku ni bagi hujah, kalau masuk konfem menang hehehe”

Pendapat aku pula, isu ini adalah satu kuliah politik secara real untuk mahasiswa. Ya, aku maksudkan satu pendidikan politik untuk para mahasiswa. Politik sebenar bukan semudah, aku undi kau, kami undi kau, kau menang majoriti, kau lah pemimpin terbaik kerana kau yang dipilih kami. Titik. Tunggu dulu. Tak semudah itu. Dalam memahami politik, kita tidak boleh terlalu simplistik dalam menentukan keabsahan tesis.

Sisi lain, bila ada kawan yang katakan “aku malas nak join prk, aku tak pandai politik ni” maka harus aku nyatakan, politik bukan pertandingan sukaneka tapi satu pertarungan tinju, dan politik bukan hanya merangkumi PRK semata-mata. PRK adalah salah satu cabangnya namun bukan semuanya. Mahasiswa yang tidak masuk bertanding juga sedang bertarung hebat dalam perlawanan ini, ya ini hakikat yang kita sering lupa. Gelanggangnya adalah sistem pendidikan dan kita sebagai pelajar, MPP atau bukan, sedang bertarung hebat dalam perlawanan ini.

 Dalam pilihanraya, majoriti hanya lah angka, dan aku tidak menafikan kemungkinan angka boleh diubah. Jika angka diubah, maka itu satu ketidak adilan pada calon. Itu semua sudah tahu. Cuba kita berfikir lebih jauh dan luar sedikit dari kekecohan ini. Luar dari manifesto-manifesto, luar dari respons penonton rapat umum yang angkanya boleh dikira dengan jari, luar dari kritikan terhadap hegemoni pihak tertentu, luar dari isu poster tak cukup digantung dan luar dari isu jatuh-menjatuhkan, kerana itu semua dihidangkan pada kita, cuma bergantung pada kita hendak cakna atau tidak. ( Ini adalah perisa dan perencah normal dalam pilihanraya walaupun aku akui, ada kalanya senak perut juga setelah menelannya.)

Yang susahnya adalah untuk berfikir, apa kaitannya semua ini dan mengapa ini semua terjadi. Apakah objektif kuliah pendidikan politik ini dan apakah yang dapat kita pelajari daripada semua ini? Lihat dan perhati . Aku kira  penimbulan keraguan terhadap ketelusan sesuatu sistem, itu satu stimulus atau ignitator untuk kita memahami sistem itu sendiri.

Cuma, jika stimulus itu dihidangkan kepada mereka yang masih malas memahami, maka ignitation itu tidak akan memberi apa-apa erti. Maka aku berminat untuk menulis berkenaan sistem yang memungkinkan hal ini terjadi. Bila disebut pilihanraya, tidak kisahlah di peringkat universiti, negeri, negara mahupun dunia sekalipun, sistem yang digunapakai ialah sistem demokrasi. Sana demokrasi, sini demokrasi.

Persoalan aku, sistem demokrasi ini memang yang terbaik kah ? Jika ia yang terbaik mengapa masih timbul kelompangan ketika menjalankannya ? Jawapannya ada dua. Satu, sistem demokrasi kurang sesuai digunakan dalam kalangan masyarakat yang masih lesu dan letih pemikirannya dan yang masih kuat dilarut budaya bandwagon. Kerana mereka akan memilih berdasarkan populariti dan agak malang lagi, memilih sekadar mencukupkan syarat.

Kedua, sistem demokrasi paling tidak sesuai digunakan oleh orang-orang yang berkepentingan kerana ini akan menderhakai konsep demokrasi itu sendiri. Demokrasi adalah foundation atau bedak asas yang menutupi segala cela pada wajah pelakon di pentas politik. Dan, pelakon itu adalah kita semua. Maka untuk melarutkan foundation itu, kita harus punya ilmu dalam menafsirkan setiap langkah yang diambil oleh pihak yang terlibat, dan kembali mengaitkannya dengan pelajaran politik yang kita sedang hadapi ini.

 Untuk ini aku bersetuju dengan Tere Liye, demokrasi tidak semestinya yang terbaik, kerana yang terbaik adalah menyerahkan sesuatu urusan pada ahlinya.  Yakni, “ahlinya” dari pihak yang menguruskan/admin dan “ahlinya” dari pihak kesemua pelajar sendiri. Contohnya, jika majoriti memilih A, namun A bukan yang terbaik tetapi yang terbaik adalah B, tapi kerana sistem demokrasi diguna pakai dan B tidak dapat dipilih kerana tidak cukup sokongan, B tidak dapat meneruskan ideanya kerana tidak mendapat sokongan majoriti, maka di sini nampak sudah bukan kelemahan sistem demokrasi itu ? Sebenarnya, ayat ini salah tetapi kita hari ini dididik untuk membenarkannya. Kita kadangkala membenarkan sistem meletakkan batasan pada kemampuan kita sendiri. Benarkah “B tidak dapat meneruskan ideanya kerana tidak mendapat sokongan majoriti” ?  Sejak bila memperjuangkan kebenaran itu perlukan majoriti baru boleh dimulakan ? Demokrasi itu cantik, tetapi tetap juga ada kurangnya.

Nelson Mandela waktu memperjuangkan prinsip kebebasan di balik tirai penjara bukan lah dalam sehari dua bisa mengumpulkan penyokong setia sedangkan semua tahu apa yang diperjuangkannya itu adalah benda yang baik, prinsip kebebasan dan kemanusiaan di bawah label menolak Apartheid, namun untungnya beliau tetap juga bertahan walaupun mengambil masa yang lama. Kerana seperti yang aku katakan, demokrasi itu cantik, tapi tetap jua cacat bila ada dua halangan terbesar, satu di pihak orang awam dan satu di pihak atasan. Pernah terfikir mengapa perjuangan Nelson Mandela tidak berjaya dalam sehari dua, sedangkan yang dibawanya bertepatan dengan prinsip moraliti dan kebenaran ? Jawapannya kerana bukan semua manusia melihat lakaran idea itu secara bersih, melainkan ada diselitkan kepentingan, ketidaktahuan, kecelaruan pemikiran dan pelbagai halangan yang tidak memungkinkan perkara baik itu berlaku pantas, dan cengkaman pihak yang lebih berautoriti salah satunya.

"Every political system is based on some code of ethics. The dominant ethics of mankind’s history were variants of the altruist-collectivist doctrine which subordinated the individual to some higher authority, either mystical or social. Consequently, most political systems were variants of the same statist tyranny, differing only in degree, not in basic principle, limited only by the accidents of tradition, of chaos, of bloody strife and periodic collapse. Under all such systems, morality was a code applicable to the individual, but not to society." 
Ayn Rand, Man’s Right article

Maka di sini ianya berbalik pada setiap individu itu sendiri. Maknanya di sini, jika anda bukan MPP, maka tugas mencerahkan masyarakat masih lagi di atas bahu anda, tidak berkurang seinci pun. Aku anggapkan kita semua sekarang dalam kuliah politik bertajuk prk. Rugi lah orang yang tidak mahu menghadiri kuliah ini, yakni langsung tidak mahu ambil tahu tentang pelajaran ini. Dan pemberatan kerugian yang sama pada mereka yang ambil tahu tapi tidak mengambil pelajaran dari semua ini. Politik pada hari ini bagi aku adalah satu bisnes. Kita jual idea dan fikiran, jika majoriti percaya, maka bisnes itu berpihak pada kita. Cuma, apabila cagarannya adalah kepercayaan orang, maka kita harus berhati-hati. Jika anda bukan MPP, anda masih juga terlibat dalam politik ini, sebenarnya selagi dinamakan manusia maka selagi itu lah kita berpolitik.

Maka kesimpulan dari prk di universiti, aku fikir calon-calonnya hebat belaka. Jika seorang manusia boleh membuatkan manusia lain berfikir, maka itu sudah aku gelar hebat. Aku lebih bimbangkan tentang isu ketelusan sebenarnya, namun aku doakan semoga semuanya berjalan baik. Kuliah politik kali ini membuatkan aku semakin fikirkan dua perkara, satu tentang prinsip moraliti dalam demokrasi dan kedua, sejauh mana ilmu darinya berjaya aku kutip.


Dan, seperti yang dijanjikan :


PERINGATAN

Jika rakyat pergi
Ketika penguasa pidato
Kita harus hati-hati
Barangkali mereka putus asa

Kalau rakyat bersembunyi
Dan berbisik-bisik
Ketika membicarakan masalahnya sendiri
Penguasa harus waspada dan belajar mendengar

Bila rakyat berani mengeluh
Itu artinya sudah gawat
Dan bila omongan penguasa
Tidak boleh dibantah
Kebenaran pasti terancam

Apabila usul ditolak tanpa ditimbang
Suara dibungkam kritik dilarang tanpa alasan
Dituduh subversif dan mengganggu keamanan
Maka hanya ada satu kata: lawan!.

(Wiji Thukul, 1986)


*penulis memohon ampun dan maaf jika kurang bernas dalam berhujah, menulis dalam keadaan jasad dan jiwa yang bercelaru beginilah jadinya. Moga Allah mengampunkan kesalahan penulis dan kita semua, ameen*

Sunday, November 3, 2013

Butterfingers Cool Beb !


Assalamualaikum wbt

kali ni aku nak bercerita mengenai satu band yg aku kagum dan respek.

Selepas semua lagunya aku dengar dan kaji, aku rasa Butterfingers memang satu band yang menarik dan genius.

special thanks lah pada insan yang perkenalkan aku pada band nih. sampai mati akan aku kenang jasa beliau.

memang kebiasaan aku bawak moto sambil layan mp3 sebab kalau tak aku akan rasa bosan, jadi ada lah satu hari ni kat traffic light kat kangar, aku first time dengar lagu Mendaki Menara Condong. 

Perghhh best, lirik lagu ini mampu membuatkan kita berfikir 

"Peristiwa berlaku dengan sebab
 Terus mara ke depan
 Pancaroba sememang lumrah hidup
 Jangan cuba "gostan" 
" -Mendaki Menara Condong

kalau dari susunan muzik, aku prefer lagu Faculty of Minds, 1000 Tahun, No One Else, Merdeka, Cuai, Bebas dan banyak lagi lah. nak senarai panjang pulak rasanya.

lagu Tentang Tentang mempunyai mesej yg mendalam maknanya,

"saya ini pun bukan sempurna
tapi saya tahu
dosa dan pahalaku Tuhan saja
Tuhan saja yang tahu
dosa dan pahalaku Tuhan saja
Tuhan saja yang tahu"


Akhirul kalam, aku respek orang yg mampu berhujah dan membuka minda manusia melalui muzik dan seni. Butterfingers cool !