Dalam kepekatan malam, Nia merenung langit. Hamparan indah ciptaan Tuhan kelihatan kelam pada pandangannya. Mungkin kerana sisa demam yang masih belum mahu kebah membuatkan Nia berasa amat pening sekali. Ubat yang dimakan seolah tidak memberikan kesan kepadanya, sudah beberapa hari tapi keadaannya seolah tiada perkembangan, tapi ini bukanlah sesuatu yang pelik, mungkin Allah masih mahu mengujinya lagi. Lantas dalam suasana suram malam, (jam menunjukkan pukul 1.32 pagi) Nia masih termenung lagi. Termenung melihat malam yang bakal berganti siang dalam beberapa jam lagi. Dia teringat perbualannya dengan rakannya lewat malam tadi, rakan kelasnya yang datang melawat Nia kerana tidak ke kelas hari ini.
" Kita ini alien Nia, kamu harus kuat, buatlah keputusan dengan bijak"
itu kata-kata kawan Nia, selepas dia meluahkan dilemanya untuk meneruskan perjuangan dalam sebuah persatuan ataupun tidak. Jika ditanya soal minat, ya, dia memang minat tapi prinsip diri sukar untuk digoyahkan. Permasalahan apabila melibatkan prinsip diri dan minat harus diatasi dengan menggunakan akal yang sihat, setelah mengambil kira awlawiyat dan situasi, dia faham itu. Cuma kini dia masih menimbangkan rasional keputusannya kelak. Lupakan soal itu, mengapa dikatakan dia alien? Kerana dia bertudung labuh. Kerana itu. Dan Nia tidak mengambil kisah akan persoalan itu. Bahkan beberapa hari sebelumnya dia diketawakan kerana memakai sarung tangan ke kelas yang memerlukan lelaki dan perempuan bekerja sebagai satu kumpulan, kerja melibatkan pendawaian.
"Haha, kamu baru selesai merompak bank kah Nia?"
Itu mungkin satu gurauan, tak mengapa, seharusnya tidak berbekas pun di hati dia, tapi iya, mungkin kerana keadaan kesihatan yang tidak baik membuat Nia terasa agak sedih. Seharusnya tidak begitu. Bukankah selama ini dia kuat? Bukankah jiwa pendebat seharusnya sudah lali dengan segala bentuk provokasi ? Sebelum mahu berubah lagi, telah dipesan "Kamu tahu berubah sedemikian memerlukan kekuatan hati, tolong kuatkan hati andai ada yang merendahkan kamu, mengatakan kamu ketinggalan zaman dan sebagainya. Ingat apa niat kamu" Ya, Nia masih ingat pesan naqibahnya. Dan itu yang dia sematkan kuat-kuat dalam hati. Dahulu sebelum berubah juga dia banyak kawan-kawan yang bertudung labuh. Dia yang suka begitu, dikelilingi mereka yang sangat lembut dan indah pada pandangan mata Nia. Lantas dia pernah bertanya kepada mereka, secara berdepan saat mereka berkumpul dalam satu sesi usrah
"Maaf kalau saya tanya, tapi kenapa korang pakai tudung labuh eh?"
"Tak mengapa, persoalan itu bagus. Kenapa? Kerana tudung labuh ini cara paling praktikal. Kerana jika hari yang angin kuat, tidak akan mudah terselak. Bukankah wanita itu disuruh melabuhkan tudungnya hingga ke paras dada?Sebenarnya banyak lagi hikmahnya. Kamu akan rasa lebih terjaga"
"Tapi, ada banyak pihak yang mengatakan perempuan bertudung labuh bukan semuanya baik. Ada yang merosakkan imej agama. Korang tak takut dengan tuduhan sedemikian?"
"Itu bergantung kepada hati masing-masing. Saya tidak mengatakan saya sempurna dan baik jika bertudung labuh, tapi bertudung labuh ini membuatkan saya berfikir berkali-kali ganda jika mahu melakukan sesuatu dosa. Kerana saya tahu masyarakat akan menghukum wanita bertudung labuh berkali-kali ganda jika kami melakukan kesalahan. Dan akhirnya, saya berdoa agar Allah sentiasa istiqamahkan niat saya hanya untukNYA"
Dan jawapan itu membuatkan Nia terasa ingin berubah, juga disebabkan beberapa peristiwa yang pernah berlaku dalam hidupnya. Dan untuk itu dia kuat diuji. Mungkin kerana Allah ingin melihat bukti keikhlasan Nia. Maka dari saat itu Nia katakan pada diri,"Baiklah aku tidak akan goyah dengan kata-kata manusia". Maka selepas itu, apapun yag dikatakan dia hanya senyum. Pernah sewaktu mewakili universiti dalam pertandingan bahas bahasa Inggeris, seorang peserta bertanya berulang kali sama ada benarkah dia pendebat Bahasa Inggeris. dan dia hanya mampu tersenyum lagi.
"kamu akan lebih terjaga"
dan Nia sudah lihat banyak bukti kata-kata ini. Waktu dalam pertandingan bahas yang sama, sudah semacam kebiasaan, setiap pendebat dari kedua-dua kumpulan akan bersalaman antara satu sama lain. Pada pertandingan itu, Nia merupakan salah seorang pendebat yang bertanding. Seusai pertandingan selesai, hatinya gusar kerana dia tidak tahu begitu adat pertandingan ini. Namun dia teguh dengan pendirian, tidak akan bersalam walau apa pun terjadi. Dan Alhamdulillah, lelaki dari kumpulan lain yang menyuakan tangan kepada peserta wanita lain hanya menundukkan kepala saat melihat Nia. Nia juga menundukkan kepala tanda hormat. Syukur :)
Apapun, kehidupan ini satu ujian, maka perlu diingat objektif pada awalnya. Kerana saat sebelum bermula sudah dipasakkan dalam diri, dia sudah sedia menerima segala implikasinya, Menjadi orang yang asing pada pandangan orang lain, Nia terima itu. Kerana dia juga pernah melihat mereka dengan pertanyaan dalam diri. Jika dulu dia menganggap tudung labuh itu hanya untuk mereka yang bersekolah agama, kini dia merasakan tudung labuh itu hak setiap wanita. Kerana kawan baiknya yang bukan dari sekolah agama juga telah berubah walaupun bukan pada masa yang sama. Dan rakannya ini juga banyak menguatkan dia.' Biarlah jika kamu mahu mengatakan aku asing, aku terima itu.' itu yang dibisikkan dalam hati saat diuji.
Dan kepekatan malam terus berlalu. Saat ditarbiyah dengan kesakitan, Nia rindukan teman-teman yang dahulunya tak pernah jemu mengajaknya mengikuti program2 kerohanian, membantunya menjawab segala permasalahan. Kerana sifatnya yang suka memendam segala ketidakpuasan, kadang-kadang dia merasakan sakit yang amat sangat dalam hati. Sakit kerana diuji, lebih sakit kerana takut tak tahan diuji. Hakikatnya, Nia hanya mampu berdoa agar Allah tidak menarik nikmat hidayahNYA hingga saat dia meninggal dunia nanti.Dia mahu saat dia dijemput Tuhan kelak, saat tangannya berdakap kaku, dia dijemput dalam keadaan iman yang utuh pada Maha Pencipta. Kehidupan ini hanya sementara, Nia akur itu. Dia juga akur yang dia masih belum banyak amal untuk dibawa. Oleh itu dia harus kuat, kuat untuk bersabar dan terus berjuang.
Tiba-tiba Nia melihat ada kerlipan bintang di langit, cantik sekali. Lantas Nia mula memahami, hari ini, dan hari semalam, saat kesakitan menerpa, dia tahu Allah ingin dia memahami peringatan tentang kematian. Kerana kesakitan itu peringatan terbaik kematian, manusia bila sihat jarang mahu mengingati mati, sibuk dengan urusan dunia yang bertimbun.
Lalu Nia menangis kesyukuran. Dia masih lagi ditarbiyah, bukti Allah masih sayang kepadanya.
No comments:
Post a Comment